Sebagai seorang manusia yang bergelar hamba Allah, kita tidak dapat lari dari berhadapan dengan musibah dan segala ujian dariNya. Jika diri kita lemah, kita akan mengalami rasa sakit samada pada mental(fikiran), fizikal(jasad), dan rohani(jiwa). Kesakitan yang menimpa dari aspek fizikal boleh dirawat dengan mengambil langkah menuju ke hospital, berjumpa doktor, menerangkan permasalahan diri, seterusnya diberikan ubat-ubatan sebagai langkah untuk melegakan atau mengurangkan kesakitan yang melanda. Tidak kurang juga di kalangan kita yang menemui kaunselor bagi mendapatkan nasihat untuk merungkai permasalahan yang menimpa.
Namun, sedarkah kita bahawa terdapat satu rahsia yang merupakan ubat yang paling mujarab untuk merawat ketiga-tiga penyakit yang disebutkan di atas? Ianya tidak lain tidak bukan adalah dengan cara berinteraksi dengan Allah S.W.T. Bagaimanakah cara berinteraksi dengan Allah pula? Jawapannya mudah sahaja. Ayat-ayat yang terkandung di dalam Al-Qur’an yang diwahyukan oleh Allah S.W.T itulah merupakan perantaraan interaksi kita dengan- Nya. Al-Qur’an adalah kalamullah (firman Allah ta’ala). Ia bukanlah kata-kata manusia. Bukan pula kata-kata jin, syaitan atau malaikat hatta hasil cetusan pemikiran dari fikiran makhluk yang fana, bukan syair, bukan sihir, bukan pula hasil pemikiran manusia. Ayuh kita selusuri kalimah dari Sang Pencipta, Yang Maha Agung yang tiada setara dengan- Nya melalui surat An-Najm ayat 3-4 yang bermaksud:
“…dan tiadalah yang diucapkannya itu (Al-Qur’an) menurut kemauan hawa nafsunya. Ucapannya itu tiada lain hanyalah wahyu yang diwahyukan (kepadanya)…”
Butiran mutiara dalam al- Qur’an itu diturunkan buat semua makhluk, seorang pun tidak terkecuali menerima dan melaksanakan perkara yang terkandung di dalamnya. Mari kita renung sejenak saudara saudari sekalian, di kala musibah menjengah, mahupun di kala kesenangan dikecap, adakah Al-Qur’an ditadabburi? Kekadang jiwa kita tidak lepas dari sifat seorang manusia yang sering sahaja marah, geram dan sakit hati dan sebagainya, kita sering terlupa pada- Nya sebaliknya menuruti sahaja nafsu ammarah bi al- suu’ yang diapi-apikan oleh syaitan laknatullah dengan melepaskan perasaan itu bukan pada tempatnya. Renungkan sejenak di kala fizikal kita pula disakiti, kita seolah-olah menyerahkan sepenuhnya takdir dan bergantung sepenuhnya kepada manusia yang lemah seperti doktor, bomoh dan lain-lain. Apakah kita lupa pada tempat pergantungan yang sepatutnya?
Sebahagian antara kita mungkin tidak menyedari bahawa kehidupan seharian kita sebenarnya telah diberi garis panduan berinteraksi dengan Allah S.W.T. Ayat-ayat cinta daripada- Nya telah kita sebutkan dalam solat lima waktu sehari semalam. Jika kita membaca bait-bait Al-Quran ini dengan penuh kefahaman dan penghayatan yang mendalam, solat kita dirasakan khusyu’ dan penuh pengharapan sehingga menitiskan air mata tanpa dipaksa, kesan dari hasil pergantungan yang tinggi kepada Sang Pencipta. Buat akhirnya, saudara- saudari yang kukasihi kerana Allah, diharapkan kita semua dapat mengambil butir- butir mutiara peringatan ini agar dapat membuat satu anjakan paradigma dalam diri. Bacalah Al-Qur’an, fahami serta hayatilah maknanya. Selamat berinteraksi dengan Allah!
No comments:
Post a Comment